Ahlan Wasahlan Selamat Datang ke j-QAF SK Langkon, Kota Marudu, Sabah

SEJARAH SEKOLAH

Sejarah awal perkembangan sekolah ini bermula apabila pendidikan secara formal diberikan kepada anak-anak pekerja estet. Proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan apabila pengurus sekolah dibenarkan menumpang di sebuah panggung wayang di Kampung Langkon.

Segala pengurusan dikendalikan dengan bantuan pengurus estet yang ketika itu sedang menjalankan projek ekonomi iaitu ubi kayu dan kemudiannya susu getah dan getah kepingan.

Sekitar tahun 1959, Sk. Langkon telah benar-benar menjadi realiti apabila pendidikan formal mula dijalankan setelah kehadiran dua orang guru dengan murid seramai 27 orang.
Sekolah di panggung wayang ini dikenali sebagai NATIVE VALENTRY SCHOOL.

Semangat untuk memperbaiki mutu pendidikan serta sokongan penuh daripada penduduk persekitaran, mendorong Jabatan Pelajaran Sabah membina sebuah bangunan sekolah papan yang mempunyai 2 buah bilik.

Tahun 1961, Native Valentry School bertukar nama menjadi Sekolah Kebangsaan Langkon, Kota Marudu. Berkat desakan Pangiran Lombiting Pangiran Hashim selaku pengasas sekolah dan pengurus sekolah telah mendorong Jabatan Pelajaran Sabah menghantar guru ke sekolah ini. Ekoran dari itu bilangan guru bertambah kepada 4 orang termasuk guru besarnya iaitu Encik Salleh Bin Matusin.

Murid-murid yang belajar di sekolah ini terdiri daripada anak-anak pekebun dan pekerja estet. Ramai juga ibubapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah ini walaupun di usia yang telah lanjut. Sk. Langkon berkembang dari tahun ke tahun dan guru besarnya silih berganti. Sehingga tahun 1976 sebanyak 3 buah bangunan baru telah dibina untuk memenuhi keperluan murid yang semakin bertambah.

Tahun 1993, bilangan pelajar kian meningkat. Kelas yang ada terpaksa dibahagi dua dengan ukuran 15 kaki x 20 kaki untuk menampung pertambahan pelajar berjumlah 358 orang dengan 25 orang guru mengajar. Dalam keadaan yang serba kekurangan tanpa bekalan elektrik walaupun jarak sekolah ini dari pekan Kota Marudu 11 km, pencapaian sekolah ini dalam semua bidang begitu membanggakan.


PENGASAS SEKOLAH


Pengasas Sekolah : Pangiran Lombiting Pangiran Hashim

Sk. Langkon telah wujud sejak 38 tahun yang lampau. Kewujudan sekolah ini adalah atas desakan masyarakat estet yang mengusahakan ladang getah sebelum tahun 1959 lagi.

Encik Pangiran Lombiting Pangiran Hashim keturunan suku kaum Brunei yang memegang jawatan Imam Kg. Langkon pada ketika itu adalah pengasas utama kepada tertubuhnya sekolah ini hingga ke hari ini.

Berkat usaha beliau dan kerjasama seluruh masyarakat estet, pihak pengurus Ladang Ubi Kayu bersetuju memberikan bekas panggung wayang untuk dijadikan sekolah. Bilangan pelajar yang telah lanjut usia dan masalah ketidakselesaan bilik belajar tidak menghalang anak-anak peladang itu turun ke sekolah.

Situasi yang serba kekurangan ini mendorong Encik Pangiran Lombiting merayu kepada Jabatan Pelajaran Sabah untuk mendapatkan bangunan baru. Tahun 1960, pelajar ’ Kelas Panggung ’ dipindahkan ke bangunan baru yang menjadi tapak Sk. Langkon hingga ke hari ini.

Perjuangan Encik Pangiran Lombiting berterusan malah sentiasa berganding bahu dengan pengurus sekolah pada ketika itu. Cikgu Salleh Matusin yang menjadi guru besar pada tahun 1961 hingga 1964 mendapat sokongan padu dari Encik Pangiran Lombiting begitu juga dengan masyarakat kampung.

Walaupun Encik Pangiran Lombiting telah meninggal dunia tetapi jasanya tetap dikenang hingga ke hari ini.







Tuesday, April 14, 2009

0 Comments:

 
J-QAF - Wordpress Themes is proudly powered by WordPress and themed by Mukkamu Templates Novo Blogger